Skuad Brazil mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan Sepanyol, 2-1. Ini adalah pingat emas kedua mereka selepas Sukan Olimpik Rio 2016.

Sejak di separuh masa pertama, Brazil menguasai perlawanan dan memiliki lebih banyak peluang terhidang manakala Sepanyol bermain lebih berhati-hati. Brazil hampir menjaringkan gol pertama pada minit ke 38 namun Richarlison gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan setelah melalui semakan VAR.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Matheus Cunha menjaringkan gol pembukaan Brazil melalui rembatan di dalam kotak penalti hasil hantaran Dani Alves dalam situasi kelam kabut.

https://twitter.com/JDNalton/status/1423985727235309571?s=20

Memasuki separuh masa kedua, Sepanyol melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Mikel Moreno dan Marco Asensio. Malah, Richarlison hampir menambah gol kedua Brazil tapi rembatannya terkena palang pada minit ke 51.

10 minit kemudian, Sepanyol berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan Mikel Oyarzabal hasil serangan balas dari sebelah kanan. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa kedua dan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Masa tambahan menyaksikan Brazil kembali menguasai perlawanan dan kerap memberi tekanan kepada Sepanyol melalui beberapa gerakan berbahaya.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Malcolm berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 109 di babak kedua masa tambahan. Berdasarkan statistik opta, Malcolm merupakan pemain pertama Brazil yang menjaringkan gol di masa tambahan dalam sejarah pertandingan itu.

Sepanyol cuba bangkit mencari jaringan penyamaan, namun beberapa pemain kelihatan keletihan dan pingat emas sah menjadi milik Brazil.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Sukan Olimpik yang dilaporkan sebelum ini. 

Olimpik 2020: Mexico Tewaskan Jepun Dalam Penentuan Pingat Gangsa

Olimpik 2020: Marco Asensio Leburkan Impian Final Jepun

Olimpik 2020: Tuah Penentuan Sepakan Penalti Bawa Brazil Ke Final

Olimpik 2020: Hatrik Richarlison Bantu Brazil Atasi Jerman